Polis Britain tahan wanita letak nota pada ambulans


LONDON: Seorang wanita ditahan polis Britain selepas meninggalkan nota pada sebuah ambulans yang digunakan ketika insiden kecemasan kerana marah dan mengarahkan petugas paramedik supaya mengalihkan kenderaan berkenan.

Mesej dengan tulisan tangan itu diletakkan di atas kenderaan yang berada di tempat letak kereta di luar sebuah rumah di Stoke-on-Trent, tengah England, ketika petugas sibuk dengan satu insiden kecemasan, kelmarin.

"Kenderaan yang bukan pemilik petak parkir nombor 14 tidak berhak diletakkan di sini," kata nota berkenaan.

"Saya tidak peduli walaupun jalan di sini roboh. Sila alihkan kenderaan anda segera."

Nota itu menerima kecaman hebat di Britain selepas seorang petugas paramedik tempatan menyiarkannya di media sosial manakala komander polis tempatan memaklumkan wanita berusia 26 tahun itu ditahan atas kesalahan mengganggu tugas awam.

"Perkhidmatan kecemasan perlu dibenarkan menjalankan tugas tanpa rasa takut, dibuli dan berdepan sebarang ancaman," kata Ketua Inspektor John Owen menerusi Twitter miliknya.

"Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, penahanan ini perlu dilakukan kerana membabitkan penyalahgunaan lisan yang diakui melanggar Akta Ketenteraman Awam," katanya. - Reuters

Sumber : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2018/02/390394/polis-britain-tahan-wanita-letak-nota-pada-ambulans
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==