KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, bersyukur kerana masih mendapat sokongan ramai dan menjalani kerjaya seni seperti biasa walaupun berdepan ujian hidup.
Katanya, pengalaman sepanjang lima hari berada dalam tahanan reman, sekitar pertengahan bulan lalu, turut memberi peluang kepadanya untuk lebih mengenali diri sendiri.
"Saya menimba pengalaman yang paling bermakna dalam hidup. Macam hari ini, saya masih dapat menghadiri program Meletop. Apa pun, saya sangat bersyukur.
"Saya berterima kasih kepada ahli keluarga, peminat dan rakan artis yang banyak memberikan sokongan. Secara tidak langsung memberi kekuatan untuk mengharungi dugaan," katanya ketika muncul dalam rancangan terbabit, malam tadi.
Kemunculan di kaca televisyen sebagai artis undangan program hiburan itu adalah yang pertama bagi Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, selepas kini dikatakan masih menjalani rawatan susulan.
Kehadirannya bersama pelakon, Nelydia Senrose dan Iman Syah, ke rancangan terbabit antara lain untuk mempromosikan drama lakonan mereka, Lafazkan Kalimah Cintamu.
Farid yang kelihatan cergas dan tampil bersama potongan rambut pendek serta menggayakan jaket kelabu berkotak-kotak turut merakamkan detik bersama pengacara jemputan yang juga heroinnya dalam filem 7 Perhentian, Erra Fazira, dalam Instagramnya.
Perkongsian itu menerima hampir 100,000 'like', malah rata-rata peminat memberikan maklum balas mengatakan teringin untuk menonton semula filem berkenaan.
Terdahulu, Farid ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.
Bagaimanapun, aktor itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM12,000 selepas lima hari berada dalam tahanan reman.
Seminggu selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas tuduhan mencederakan anggota polis dan orang awam, Farid sekali lagi dibawa ke mahkamah sama, pada 25 Januari lalu, kali ini bagi dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan.
Pelakon yang popular dengan filem Lagenda Budak Setan itu kelihatan tenang dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.
Dia dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/02/388589/farid-lega-dapat-sokongan-keluarga-peminat