BELURAN: Seorang lelaki maut ditikam, kelmarin, dipercayai gara-gara memotong giliran menimbang buah kelapa sawit di sebuah kilang di Kampung Ulu Sapi, Jalan Sapi-Nangoh di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di kilang kelapa sawit itu, Baso Padue Paddo, 30, ditikam tiga kali di tangan kiri, belakang dan dada oleh suspek berusia 26 tahun yang dikatakan tidak puas hati gilirannya dipotong.
Ketua Polis Beluran, Superintenden V Sivananthan, berkata siasatan awal mendapati berlaku pertelingkahan antara mangsa dengan suspek kerana memotong barisan untuk menimbang buah kelapa sawit, sehari sebelum kejadian, namun dapat dileraikan orang ramai.
Keesokannya, beliau berkata, suspek berumur 26 tahun dipercayai mengintai mangsa di lokasi sama sebelum bertindak menikamnya.
Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid di sini, namun disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, suspek ditahan beberapa jam kemudian di ladang kelapa sawit berhampiran selepas menyerah diri kepada polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mangsa bekerja sebagai pemandu lori, manakala suspek pemandu jentera berat mengangkut buah kelapa sawit.
Sementara itu isteri mangsa, Wana Osman, 21, berkata beliau tidak menyangka kemesraan suaminya bermain dengan anak sebelum keluar bekerja pada hari kejadian adalah kenangan terakhir mereka.
"Suami bercerita seperti biasa. Tiada sebarang tanda beliau akan pergi meninggalkan kami untuk selamanya.
"Beliau juga sempat bermain dan bergurau dengan anak kami yang berusia setahun 12 hari sebelum keluar bekerja," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Nenek mangsa, Kartina Kamrun, 51, pula berkata beliau terkejut apabila dihubungi pihak ladang mengenai insiden itu.
"Ketika itu, saya dan suami dalam perjalanan dari Sandakan ke Ulu Sapi. Kami bergegas pulang tetapi ketika tiba di Telupid, cucu sudah tidak bernyawa," katanya yang membesarkan mangsa sejak kecil.
Sambil menjelaskan mereka tinggal serumah, beliau berkata, mangsa sempat bergurau dengannya kelmarin sebelum ke bandar.
"Beliau risau memikirkan saya terpaksa bekerja keras dan selalu turun ke Sandakan.
"Bagaimanapun, tiada sebarang tanda beliau akan pergi meninggalkan kami, selain tidak ada menceritakan sebarang hal di tempat kerja beberapa hari kebelakangan ini," katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/389520/lelaki-maut-ditikam-akibat-potong-giliran