'Ayah sempat mengucap...'



GERIK: "Saya sempat ajar ayah mengucap dua kalimah syahadah. Ayah sebut Allah, Allah beberapa kali sebelum menghembuskan nafas terakhir."

Muhamad Aiman Rosli, 19, sebak menceritakan kembali detik bapanya, Rosli Zakaria, 54, dan abangnya, Muhamad Syafik Rosli, 22, yang juga orang kurang upaya (OKU), terkorban dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 45.4, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini, tengah hari semalam.

Ketika kejadian, Muhamad Aiman bersama ibu bapa dan beberapa ahli keluarga berkonvoi menaiki lima kenderaan selepas selesai menziarah keluarga yang sakit di Pulau Pinang.

"Kami ke Pulau Pinang kelmarin (Jumaat) dan bertolak pulang kira-kira jam 9.30 pagi tadi (semalam).

"Ayah dan ibu serta dua beradik menaiki Frontier dipandu ayah.

"Kami tiga beradik menaiki Perodua Kenari dipandu kakak sulung dan saya duduk di bahagian penumpang hadapan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini, malam ini.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, sebuah kereta Audi didakwa merempuh tepi kenderaan mereka, menyebabkan Kenari berkenaan berpusing beberapa kali.

"Audi itu kemudian bertembung dengan Frontier dinaiki ayah dan ibu di belakang.

"Saya meluru keluar dari kereta untuk cari ayah. Ayah sedar tapi mengerang kesakitan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Kepala ayah terhentak pada stereng, manakala ibu yang duduk di depan terperosok ke lantai kereta dan tersepit," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Muhamad Aiman berkata, bapa dan adiknya dikeluarkan orang ramai manakala ibunya yang cedera parah dikeluarkan pasukan bomba.

"Ibu dirawat di Hospital Taiping kerana patah bahu dan peha, manakala jenazah ayah dan abang akan dikebumikan di Kampung Changgai Pasir Puteh, Kelantan," katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/389940/ayah-sempat-mengucap
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==