KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah melakukan permulaan positif pada hari pertama ujian MotoGP bersama Monster Yamaha Tech 3 di Buriram, hari ini.
Hafizh menamatkan ujian di tempat terakhir daripada 24 penunggang, 2.368 saat di belakang pelumba LCR Honda, Cal Crutchlow (1:30.797s) yang mencatat masa terpantas namun dia menunjukkan potensi besar pada penampilan pertamanya di MotoGP.
Penunggang berusia 23 tahun itu yang berlumba empat tahun dalam saingan Moto2, berkata dia semakin memahani jentera YZR-M1 miliknya yang lebih canggih berbanding jentera lama digunakannya.
"Saya berterima kasih kepada Tech 3 kerana memberi kepercayaan kepada saya. Secara keseluruhan hari pertama ini amat positif. Saya fikir saya mungkin akan agak jauh di belakang penunggang lain tetapi ia hanya sekitar 2.3 saat di belakang (pendahulu)," kata Hafizh.
"Saya ada hubungan yang baik dengan pasukan dan saya banyak mendapat keyakinan dan persefahaman dengan mereka. Saya tak nampak sebarang masalah.
"Saya tiada sebarang sasaran pada hari kedua ujian esok, harapan hanya untuk terus meningkat dalam setiap sesi dan melakukannya selangkah demi selangkah."
Tech 3 berkata mereka akan menilai persembahan Hafizh ketika ujian di Buriram sebelum mengambil keputusan sama ada akan menawarkan tempat secara tetap bersama pasukan itu musim ini.
Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2018/02/389426/permulaan-baik-hafizh-di-buriram