KUALA LUMPUR: Berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga, pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya menjadikan percutian romantis berdua sebagai acara wajib setiap tahun.
Awal, 36, memberitahu, percutian dengan isteri dapat mengeratkan kasih sayang selain memberi tumpuan penuh kepada pasangan.
Bekas pengacara program hiburan Melodi ini mengaku sebagai suami dan ayah, fokus utama diberi kepada cahaya mata sulung, Lara Alana hingga terlupa memberi perhatian kepada isteri tercinta.
"Saya menjadikan rutin bercuti berdua sebagai kemestian buat kami setiap tahun. Selain dapat meluangkan masa kualiti bersama, ia juga berperanan sebagai terapi pengikat sayang.
"Itulah, sejak ada Lara, semuanya berkisar dirinya. Kalau pergi ke acara atau majlis, peminat juga bertanya mengenai anak kami.
"Kadang kala, saya rasa terabai pula Scha disebabkan terlalu fokus kepada anak sepanjang masa," katanya kepada BH Online.
Mengaku sering berjenaka untuk menambah bilangan anak, namun, Awal reda belum dikurniakan rezeki lagi.
"Insya-Allah, doakan yang terbaik buat kami sekeluarga," katanya.
Dalam perkembangan lain, Awal menjelaskan, pengunduran sebagai pengacara Melodi selepas enam tahun adalah disebabkan mahu keluar dari zon selesa dan mengembangkan kerjaya seni.
Tambahnya, sejak meninggalkan program itu, hari Ahad dapat diluangkan untuk bersama keluarga.
"Kalau dulu, setiap Ahad saya ada komitmen di studio TV3 untuk siaran langsung Melodi, sekarang hari minggu saya lebih santai. Jadi dapatlah meluangkan masa bersama keluarga," katanya.
Sepanjang enam tahun mengendalikan Melodi, Awal digandingkan dengan Zizan Razak, Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan AG Kool FM.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/02/390431/cuti-berdua-rahsia-kebahagiaan-awal-scha