Pasar Besar Kota Marudu terbakar


KOTA MARUDU: Lebih 20 peniaga ikan di pasar besar di sini, hampir hilang sumber pendapatan selepas kedai menjual pakaian di tingkat atas bangunan dua tingkat itu terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, tindakan pantas bomba yang tiba serta menjalankan operasi pemadaman bagaimanapun berjaya menyelamatkan tingkat bawah.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata bomba menerima panggilan daripada seorang peronda polis pada jam 3.07 pagi sebelum dua jentera dengan kekuatan 12 anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, bomba mendapati tingkat atas sebuah pasar besar jenis kekal dua tingkat terbakar 100 peratus.

"Anggota bomba segera memadam kebakaran bermula tingkat bawah menggunakan tangki jentera dan pili berhampiran bagi mengelak ia merebak sepenuhnya," katanya dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.50 pagi daripada merebak ke tingkat bawah dan hanya tingkat atas membabitkan jualan pakaian terbakar 100 peratus.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.

Rony berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala api dipadam sepenuhnya pada jam 7 pagi.




Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/02/389269/pasar-besar-kota-marudu-terbakar
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==