Abang lemas, adik masih tidak sedarkan diri


IPOH : "Saya sayang cucu saya, tak pernah terlintas nak abaikan atau membiarkan mereka bersendirian," kata Rafika Yusof, 56.

Rafika adalah nenek kepada Alif Rizqi Muhammad Redzuan, 4, yang meninggal dunia dipercayai lemas di sebuah kolam di Jalan Jelapang Maju, Kawasan Perindustrian Ringan Maju di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.15 pagi itu, Alif Rizqi bersama adik bongsunya, Mohd Akhil Rayyan, 2, mandi di sebuah kolam kecil di luar rumah kedai milik neneknya.

Bagaimanapun, Alif Rizqi disahkan meninggal dunia akibat lemas, manakala adiknya, Mohd Akhil Rayyan masih belum sedarkan diri dan dirawat di Wad Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Rafika berkata, dia menjaga dua cucunya itu sejak dua minggu lalu selepas nenek sebelah ibunya yang menjaga mangsa baru saja kematian kakak di Taiping.

Beliau yang mengusahakan kedai makanan berkata, arwah cucunya adalah kanak-kanak yang ceria dan mendengar kata.

"Saya bukan jaga seorang, malah empat adik-beradik arwah dan mereka elok saja bermain di rumah jika saya menguruskan kedai.

"Walaupun kedai terletak di tepi jalan, mereka tidak pernah bermain di luar, namun kami sekeluarga tidak menyangka dua beradik itu keluar rumah tanpa disedari," katanya di kediamannya di Jalan Jelapang Maju, Jelapang di sini, hari ini.

Menceritakan detik kejadian, Rafika berkata, setiap hari rumah berkenaan riuh-rendah dengan suara empat beradik itu, namun sebelum kejadian suasana sepi tanpa kedengaran suara.

"Saya cuba mencari dua beradik itu dalam rumah, namun tidak jumpa sebelum keluar rumah dan kemudian menemui Alif Rizqi serta Akhil dalam kolam berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Rafika berkata, dia reda dengan pemergian cucunya itu dan berharap selepas ini, menantunya yang bekerja sebagai guru di Kuala Lumpur dapat bertukar mengajar di bandar ini selepas memohon bertukar sejak enam tahun lalu, manakala anaknya yang juga bapa mangsa bertugas sebagai tentera di Institut Latihan TUDM, Ipoh,

"Mohd Akhil Rayyan masih di hospital dan doktor beritahu keadaannya stabil, namun masih belum sedarkan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital pada jam 10.15 pagi di Wad Kecemasan HRPB.

"Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian dua kakak mangsa sedang tidur, manakala dua lagi sedang bermain.

"Bagaimanapun kedua-dua kanak-kanak berkenaan ditemui dalam kolam dipenuhi air sedalam dua kaki dan kes itu diklasifikasikan mati mengejut," katanya.


Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/389547/abang-lemas-adik-masih-tidak-sedarkan-diri
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==