KUALA KRAI: Kepemimpinan tertinggi parti akan mengadakan perbincangan berhubung seorang Ketua UMNO bahagian yang ditahan kerana didapati positif dadah sebelum memutuskan bentuk tindakan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sambil menyifatkan perkara itu amat malang kepada parti dan tidak sepatutnya berlaku, Timbalan Perdana Menteri mengakui isu berkenaan pastinya memberi kesan pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14).
"Dari segi perundangan dan penguatkuasaan, kita tidak boleh menghukum mana-mana individu sebelum hukuman dijatuhkan mahkamah, namun dari segi moral ia amat mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku.
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Parti (UMNO), Datuk Seri Najib Razak mengenai tindakan yang akan diambil dan setakat ini tiada penggantungan dibuat.
"Sudah pasti ia memberi kesan dan menjejaskan kawasan itu, namun kita akan berusaha supaya organisasi (parti) dan rakyat tidak terjejas," katanya dalam sidang media di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.
Semalam, polis menahan seorang Ketua UMNO bahagian di dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara.
Dalam serbuan itu, pemimpin terbabit bersama sekumpulan rakannya ditahan dan ujian air kencing mendapati pemimpin parti itu positif dadah.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/407130/amat-malang-tidak-patut-berlaku-ahmad-zahid